FOTO Ihsan Facebook CIDB Malaysia
FOTO Ihsan Facebook CIDB Malaysia
Suraya Roslan


SEBANYAK 12 tapak pembinaan diarah tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atas beberapa kesalahan termasuk tidak menjalankan ujian saringan Covid-19.

CIDB Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook rasmi mereka memaklumkan, hasil pemeriksaan penguatkuasaan bermula 20 April hingga semalam, sebanyak 1,444 tapak projek berjaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, 317 tapak projek lagi diberi amaran manakala 12 diarah tutup.

"Sebanyak 1,773 jumlah tapak beroperasi di seluruh negara bermula 20 April hingga semalam.

"Daripada jumlah itu, 12 diarahkan ditutup antaranya dua di Wilayah Persekutuan, Kedah (lima), Pahang (dua), Selangor (satu) dan dua di Bintulu, Sarawak.

"Arahan penutupan berikutan tapak projek berkenaan melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak menjalankan ujian saringan Covid-19, tidak mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan 90 peratus kepatuhan SOP tidak dipraktikkan," katanya.

Menurutnya, antara alasan lain juga adalah tiada pasukan Covid-19 yang bertanggungjawab menyelia pekerja dan kontraktor tidak berdaftar dengan CIDB.

"Sebanyak 7,066 pemeriksaan tapak dilakukan di seluruh negara bermula 20 April hingga semalam.

"Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan angka tertinggi pemeriksaan tapak iaitu 1,152 diikuti 878 di Johor, 799 di Wilayah Persekutuan, Perak (650), Pulau Pinang (575) dan Negeri Sembilan (446)," katanya.

Menurutnya, selain itu, 339 pemeriksaan tapak dilakukan di Terengganu diikuti 311 di Kedah, Pahang (303), Melaka (212), Kelantan (185) dan 159 di Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 12:08 PM