WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. FOTO arkib NSTP
WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan beliau membuat hantaran mencabar Umno bertanding di semua kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Dalam satu kenyataan, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya perkara itu dan ia adalah fitnah berniat jahat, mengambil peluang daripada kemelut politik kebelakangan ini.

Katanya, perbuatan itu adalah percubaan untuk menggugat dan memecahbelahkan hubungan di kalangan rakan-rakan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sabotaj ke atas dirinya sebagai Ketua Armada Nasional.

"Saya ingin menasihatkan orang awam untuk berhati-hati dengan fitnah sebegini yang amat tidak bertanggungjawab dan mencemar nama institusi Armada Bersatu Malaysia," katanya.

Di dalam hantaran itu, beliau dikatakan mencabar Umno bertanding di semua kerusi pada PRU-15.

Selain itu, turut tertera dalam hantaran itu 'Kami ada Pas masuk Perikatan Nasional dan 'PPBM akan hancurkan Umno sampai tinggal arang pada PRU-15.

Ia disebarkan di beberapa kumpulan WhatsApp politik sejak awal hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 6:31 PM