LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Siti Rohana Idris


Machang: "Sejak kisah kami disiarkan, ramai datang menziarah mek (ibu) dan menghulurkan sumbangan barang makan serta wang sekali gus meringankan sedikit beban kami," kata Wan Nurul Safikah Wan Hamat.

Wan Nurul Safikah, 20, berkata, ada juga individu bersedia membayar sewa rumah mereka yang sekian lama tertunggak dan menyifatkan kebaikan dihulurkan itu satu bantuan cukup besar buat mereka tiga beranak.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Machang pun ada juga datang semalam dan memaklumkan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sebanyak RM100 sebulan yang diterima adik akan ditukarkan kepada skim Bantuan Am iaitu RM250 sebulan mulai Disember ini.

"Danial yang sudah berhenti sekolah sejak di Tingkatan Satu juga akan diuruskan untuk kembali ke sekolah secepat mungkin," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kisah Wan Nurul Safikah dari Kampung Pangkal Changgong, di sini, menjaga ibu yang menghidap pelbagai sakit kronik, Mek Yah Che Ting, 54, bersama adiknya Wan Muhamad Khairi Danial, 15, disiarkan dalam akhbar semalam mendapat perhatian ramai.

Rata-ratanya meluahkan simpati terhadap dua beradik itu yang menggalas tanggungjawab besar dalam usia muda dan mereka berdua bergilir menguruskan Mek Yah kerana masing-masing bekerja untuk kelangsungan hidup termasuk Wan Muhamad Khairi Danial yang terpaksa berhenti sekolah disebabkan kekangan kewangan.

Wan Nurul Safikah berkata, Danial bagaimanapun belum memberi kata putus lagi sama ada ingin kembali bersekolah atau tidak kerana keputusan itu agak drastik baginya yang sudah dua tahun bekerja.

"Saya selaku kakak amat berharap agar Danial kembali bersekolah dan menamatkan pengajian tapi ia bergantung kepadanya sendiri sama ada ingin meneruskan atau tidak.

"Kami juga perlu memikirkan keadaan mek selepas ini jika Danial kembali bersekolah kerana bimbang mek terabai jika harapkan saya seorang yang menjaga disebabkan perlu keluar bekerja," katanya yang bekerja di kedai makan dengan kadar upah sebanyak RM25 sehari.

Sementara itu jurucakap JKM Machang berkata, pihaknya sudah membuat lawatan ke rumah Mek Yah dan mengambil maklumat yang berkaitan.

"Didapati permasalahan utama keluarga ini adalah kerana tiada sumber pendapatan tetap dan keadaan Mek Yah yang sakit terlantar tiada penjagaan rapi memandangkan dua anaknya terpaksa keluar bekerja bagi membayar sewa rumah dan keperluan keluarga.

"Selain ditukarkan kepada skim Bantuan Am sebanyak RM250 sebulan untuk Danial, kami juga menyerahkan Tabung Bantuan Segera sebanyak RM300 untuk kegunaan mereka," katanya.

Berita berkaitan

'Kami sudah biasa berlapar' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 2:26 PM