Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Tiga kawasan di Pulau Pinang dan Sandakan, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Kawasan terbabit adalah Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai di Pulau Pinang yang akan bermula esok sehingga 4 November manakala Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Sandakan, Sabah akan bermula 23 Oktober sehingga 5 November.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu dipersetujui menerusi Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

"Bagi mengawal penularan di penjara dan kawasan kuarters kakitangan berkenaan, sidang khas bersetuju melaksanakan PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara membabitkan 3,262 penghuni.

"Ia merangkumi banduan seramai 2,110 orang, kakitangan penjara dan keluarga mendiami kuarters (1,000 orang) kakitangan di penjara (120 orang) dan kakitangan awam (32 orang).

"Tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD akan diasing dan dikuarantin di tempat lain yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang iaitu Institut Latihan Kecemerlangan MARA, Seberang Perai Selatan sehingga tamat tempoh kuarantin," katanya dalam sidang media hari ini.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Sementara itu mengenai PKPD di PPR Taman Harmoni pula, Ismail Sabri berkata, ia membabitkan 870 unit rumah dengan seramai 4,481 penduduk.

Menurutnya, semua penduduk tidak dibenarkan keluar rumah dari kawasan PKPD dan dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bagi kes kecemasan, mereka boleh keluar dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk dan bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri," katanya.

Katanya, kawasan berkenaan juga akan dikawal oleh pihak berkuasa berkaitan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 7:14 PM