Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Seorang lagi kakitangan Penjara Seberang Perai di sini, disahkan positif Covid-19 sekali gus menjadikan tiga kes membabitkan kakitangan penjara itu dijangkiti pandemik itu setakat ini.

Pengarah Penjara Seberang Perai Zulkifli Abdul Manah berkata, kakitangan berkenaan tidak bergejala dan disahkan positif Covid-19 pada Isnin lalu.

"Dia kini menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Ahli keluarga serta kesemua kontak rapat kakitangan itu juga sudah menjalani ujian saringan dan masih menunggu keputusan," katanya di sini, hari ini.

Sehingga kini, Kluster Penjara Seberang Perai merekodkan 86 kes.

KOMPLEKS Penjara Seberang Perai. FOTO Arkib NSTP
KOMPLEKS Penjara Seberang Perai. FOTO Arkib NSTP

Semalam, kerajaan negeri mengemukakan cadangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seberang Perai untuk mengekang penularan Covid-19.

Zulkifli berkata, beliau akur sekiranya PKPD dilaksanakan dan bersedia dengan segala kemungkinan.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan peralatan pakaian perlindungan diri (PPE) daripada individu prihatin untuk kakitangan penjara yang semakin menyusut kerana ia perlu digunakan setiap hari bagi berurusan dengan banduan.

"Setakat ini, stok simpanan PPE di Penjara Seberang Perai mampu bertahan untuk tempoh dua minggu lagi.

"Sebelum ini, kita antara penjara yang hasilkan set lengkap PPE namun pada masa ini terpaksa hentikan pengeluaran PPE ekoran terdapat kes Covid-19 di sini," katanya.

Menurutnya, Penjara Seberang Perai juga dijangka akan menerima bantuan PPE daripada ibu pejabat dalam tempoh terdekat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:08 PM