AHMAD Nazlan (kanan) menerima memorandum bantahan penutupan Taman Negara, Kuala Tahan oleh     Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK)  Kuala Tahan, Abdul Jalil.  FOTO  Roselan Ab Malek
AHMAD Nazlan (kanan) menerima memorandum bantahan penutupan Taman Negara, Kuala Tahan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab

Jerantut: Penutupan Taman Negara, Kuala Tahan bermula 6 Oktober lalu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak nyata menyebabkan pendapatan 370 penggiat pelancongan terjejas teruk.

Berikutan itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan bersama lapan persatuan termasuk wakil suku kaum Orang Asli Bateq membantah penutupan Taman Negara Kuala Tahan kepada pengunjung.

Surat bantahan itu ditanda tangani oleh Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara, Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Taman Negara, Persatuan Pengusaha Bot Taman Negara dan Kelab Pencinta Burung Taman Negara.

Surat itu itu turut disokong oleh wakil pengusaha bot pelancongan, pengusaha restoran dan rakit terapung, agensi pelancongan dan pengembaraan, pengusaha penginapan dan suku kaum Bateq.

Pengerusi JKKK Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman, berkata 80 peratus penduduk bergantung penuh kepada kegiatan pelancongan sebagai punca pendapatan utama.

"Kelumpuhan industri pelancongan di sini akan turut menjejaskan 1,500 ahli keluarga mereka.

"Memorandum bantahan itu akan dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan salinan kepada Menteri Besar Pahang, Exco Pelancongan Negeri Pahang dan Ahli Parlimen Jerantut," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pencinta Burung Taman Negara, Roslan Abdul Rahman berkata, selepas dibuka semula Julai lalu, pengunjung mula datang dan aktiviti pelancongan kembali berjalan rancak.

"Kami mula perhebatkan promosi kehadiran pelancong tempatan supaya ia memberi sumber pendapatan sebagai persiapan musim tengkujuh yang bakal berlaku di penghujung bulan November, Disember dan Januari nanti.

"Bagaimanapun kami terkejut dengan notis penutupan ini," katanya.

Persatuan Pengusaha Bot Taman Negara, Fredauz Yusri Mat Yunus berkata, penutupan itu memberi kesan kepada mereka selepas moratorium pinjaman berakhir September lalu, selain perlu membayar gaji pekerja dan pelbagai bayaran bulanan.

"Oleh itu, kami berharap pihak kerajaan dapat menyelesaikan kemelut ini dengan menarik balik notis penutupan supaya pemain industri ini tidak gulung tikar dan kami akan sentiasa menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) demi kepentingan semua pihak.

"Segala arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak agensi kerajaan yang lain sewajarnya diselaraskan serta dibawa ke meja perundingan bersama dengan pemain industri ini," katanya.

Bagi wakil masyarakat Orang Asli kaum Bateq, Muring Setapar, 27, dari Kampung Tabung, berkata, mereka kini tiada pendapatan berikutan ketiadaan pelancong.

Sementara itu Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, ketika menerima memorandum bantahan itu turut menyatakan simpati terhadap mereka yang terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:23 PM