Suasana sepi sekitar Kuala Taman pintu masuk ke Taman Negara sejak penularan pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO ROSELAN AB MALEK
Suasana sepi sekitar Kuala Taman pintu masuk ke Taman Negara sejak penularan pandemik COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Taman Negara di Kuala Tahan dekat sini, yang dikenali destinasi pelancongan popular dalam kalangan pengunjung domestik dan luar negara, terus sunyi seolah-olah 'mati'.

Penggiat pelancongan di Kuala Tahan, Sabri Abdullah berkata, Taman Negara tetap sepi sejak penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu.

"Kami sudah tegar dengan senario melanda ketika ini. Ada atau tidak pelaksanaan konsep gelembung perjalanan hijau atau sebagainya oleh kerajaan, Taman Negara sama saja dan tetap sepi.

"Sebelum ini, saya bersetuju apabila kerajaan membuat keputusan menggantung kebenaran rentas negeri melalui konsep gelembung perjalanan hijau, tetapi turut tidak memberi apa-apa kesan kepada sektor eko pelancongan di Taman Negara.

"Ini kerana, ada seorang atau dua pengunjung 'ekspatriat' singgah di sini sebelum ini, malah kami lebih perit apabila tiada langsung pengunjung domestik," katanya.

Sabri Abdullah.
Sabri Abdullah.

Beliau berkata, ancaman wabak Covid-19 dengan pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) menyebabkan sektor eko pelancongan di situ 'mati'.

Menurutnya, semua restoran terapung yang menjadi persinggahan pelawat dan 'disimpan' sejak PKP pertama tahun lalu, masih tidak beroperasi sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, dia positif dengan saranan kerajaan menggantung kebenaran rentas negeri berasaskan kebimbangan penularan pandemik itu.

"Hakikatnya, kami di sini tidak kiralah pengusaha inap desa, chalet, pemandu pelancong, pemandu bot dan rakan penggiat lain menanggung derita akibat ketiadaan pengunjung sejak penularan bermula tahun lalu.

"Kami reda dengan ujian Allah dan pada masa ini, kerajaan perlu memberikan penekanan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 5:58 PM