GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Orang ramai dinasihatkan untuk mengelak berada serta melakukan sebarang aktiviti di kawasan pantai di Kuala Langat berikutan fenomena air pasang besar dijangka melanda daerah berkenaan bermula esok.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan susulan fenomena itu, beberapa pantai iaitu Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Cunang serta Jeti Tanjong Sepat akan ditutup kepada orang awam sehingga Khamis ini.

"Sebarang aktiviti seperti mandi, berkhemah, berkelah, memancing, menaiki bot serta meniaga tidak akan dibenarkan di kawasan terbabit sepanjang tempoh tiga hari ini," menurut hantaran berkenaan.

Menurut hantaran itu lagi, orang ramai boleh menghubungi Skuad Pantas MPKL menerusi talian 012-3004256 untuk sebarang pertanyaan lanjut dan aduan berkaitan fenomena berkenaan.

Dalam pada itu, berdasarkan ramalan air pasang besar, daerah Kuala Langat dijangka merekodkan ketinggian 5.3 meter pada jam 6.52 pagi Selasa (esok) diikuti 5.4 meter pada jam 7.53 pagi Rabu dan 5.3 meter pada jam 6.42 pagi pada Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 11:12 PM