SKUAD PANTAS MPKL melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi berisiko serta membetulkan dan memasang semula pita keselamatan yang diputuskan. FOTO ihsan MPKL
SKUAD PANTAS MPKL melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi berisiko serta membetulkan dan memasang semula pita keselamatan yang diputuskan. FOTO ihsan MPKL
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Masih ada pengunjung berdegil dan sanggup memutuskan pita keselamatan dipasang pihak berkuasa tempatan di Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat, di sini berikutan fenomena air pasang besar yang bermula hari ini.

Meskipun Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sudah mengeluarkan amaran, pasukan pemantau mendapati segelintir pengunjung tidak menghiraukannya semata-mata untuk beriadah di situ.

Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, kehadiran pengunjung dan perbuatan memutuskan pita keselamatan itu disedari skuad PANTAS yang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

"Skuad PANTAS bertindak memberi amaran lisan dan menyuraikan pengunjung di Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat.

"Pasukan yang membuat pemantauan juga bertindak membetulkan dan memasang semula pita keselamatan yang diputuskan di dua lokasi terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Amirul Azizan berkata, operasi pemantauan fenomena air pasang besar oleh skuad PANTAS yang bermula 4.30 pagi itu membabitkan tujuh lokasi yang sudah dikenal pasti berisiko.

"Lokasi berkenaan adalah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni, Pantai Batu Laut, Jeti Tanjung Sepat dan Pantai Chunang.

"Pemantauan mendapati paras air tertinggi untuk hari ini berada pada 5.5 meter pada 5.21 pagi tadi.

"Limpahan air berlaku di tapak perkhemahan Pantai Kelanang, Istana Bahagia Morib dan Taman Harmoni hingga ke jalanraya," katanya.

Bagaimanapun katanya, semua gerai dan kiosk MPKL di semua kawasan terbabit tidak terjejas dan tidak berlaku kerosakan akibat air pasang besar.

"Rondaan dan pemantauan yang dilakukan di semua kawasan berkenaan akan diteruskan sehingga 7 November ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 1:13 PM