POLIS menjalankan siasatan di tingkat atas yang dipercayai menjadi laluan keluar suspek dalam kejadian pecah peti besi di Sungai Bajar, Kuala Berang. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menjalankan siasatan di tingkat atas yang dipercayai menjadi laluan keluar suspek dalam kejadian pecah peti besi di Sungai Bajar, Kuala Berang. FOTO Ihsan PDRM
Zaid Salim

Hulu Terengganu: Polis masih memburu lelaki dipercayai memecah masuk sebuah premis perniagaan dan melarikan lebih RM14,000 di Sungai Bajar, Kuala Berang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pemeriksaan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) premis itu memperlihatkan suspek berbadan kurus dan mengenakan baju T lengan panjang.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk ke atas tujuh cap jari yang berjaya ditemui di stor tingkat atas premis.

"Suspek dipercayai memecah peti besi menggunakan kuku kambing yang mana alat itu kemudiannya ditinggalkan di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 9.40 pagi semalam, suspek memecah masuk premis dipercayai dengan mengumpil tingkap di tingkat dua sebelum melarikan wang tunai dalam tiga peti besi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 5:22 PM