GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


SEORANG kakitangan Plaza Tol Ebor (plaza masuk) di Shah Alam, disahkan positif jangkitan koronavirus baharu (Covid-19).

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan hari ini, berkata kakitangan terbabit bertugas sebagai pembantu khidmat pelanggan dan kini dirawat di sebuah pusat perubatan kerajaan.

Katanya, PLUS mengarahkan semua kakitangan yang mempunyai hubungan rapat dengan petugas terbabit supaya menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan serta dikuarantin.

“Pada masa sama, Plaza Tol Ebor (plaza masuk) menghala ke Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) akan ditutup sementara mulai tengah malam ini sehingga 11.59 malam esok untuk sanitasi dan pembersihan.

“PLUS memberi jaminan bahawa kerja nyah kuman dan pembersihan diadakan di plaza tol berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pelanggan dari Shah Alam, Batu Tiga dan kawasan sekitar yang menghala ke KLIA, Putrajaya serta selatan dinasihatkan memasuki Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Shah Alam atau Seafield sepanjang tempoh penutupan.

PLUS juga menasihati pengguna lebuh raya supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan dalam usaha menangani penularan jangkitan Covid-19, terutama menerusi penjarakan sosial dan mengelak ke tempat sesak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 6:35 PM