GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dibuka semula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Syarikat konsesi itu dalam kenyataan media memaklumkan, pembukaan itu selaras dengan keputusan Jabatan Agama Islam negeri yang melaksanakan PKPB.

Menurutnya, PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan semua.

"PLUS turut mengingatkan agar pelanggan yang menggunakan surau supaya mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau menulis butiran diri secara manual bagi memudahkan urusan pengesanan kontak sekiranya diperlukan.

"Pelanggan juga dinasihatkan membawa kelengkapan menunaikan solat seperti telekung dan sejadah sendiri untuk memastikan kebersihan diri terjaga kerana kelengkapan berkenaan tidak disediakan buat waktu ini," katanya, hari ini.

Katanya, penandaan bagi penjarakan fizikal juga disediakan di setiap ruang solat kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal satu meter.

Tambahnya, PLUS juga memastikan surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 10:53 AM