Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada media ketika keluar dari perkarangan istana selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai kepada media ketika keluar dari perkarangan istana selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Shamran SarahanAmir Abd HamidYusmizal Dolah AlingNurul Hidayah Bahaudin dan Hajar Umira Md Zaki dan Mohamad Fais Jusoh


Kuala Lumpur: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah akan memanggil ketua parti politik yang menyokong beliau dalam masa terdekat bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu.

Anwar berkata, beliau sudah mempersembahkan kepada Al-Sultan Abdullah dokumen sahih mengenai majoriti kukuh dan sokongan meyakinkan Ahli Parlimen, hari ini.

"(Sokongan) mencecah lebih 120 Ahli Parlimen, tetapi Agong perlu memanggil semua ketua-ketua parti (yang menyokong), jadi beri ruang kepada Agong beri keputusan (mengesahkan dokumen)," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Anwar yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam sidang media itu, Anwar tidak mengemukakan nama Ahli Parlimen yang menyokongnya, tetapi memberi jaminan akan mengeluarkan senarai nama semua Ahli Parlimen terbabit.

Hari ini, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, di sini, pada 10.25 pagi tadi.

Beliau yang menaiki kereta Jaguar berwarna hitam dilihat keluar dari Istana Negara dengan diiringi sebuah kenderaan Volkswagen berwarna hitam pada jam 11.30 pagi.

Sebelum ini, Anwar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti dalam sidang medianya pada 23 September lalu.

Beliau sebelum itu mendedahkan mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 3:25 PM