ANWAR. FOTO arkib NSTP
ANWAR. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pihaknya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Katanya, beliau mengharapkan rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.

"Sehubungan itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Kebawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada Selasa, 13 Oktober 2020, InsyaAllah," katanya dalam kenyataan itu.

Pada satu sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada 23 September lalu, beliau mendedahkan mempunyai sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Katanya beliau sudah mendapat perkenan untuk menghadap baginda sehari sebelum itu namun terpaksa ditangguhkan selepas Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 4:15 PM