GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam sebuah rumah teres di Jalan Belalang Dua, Kepong Baru, di sini, selepas kediaman itu terbakar malam ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 74 tahun itu, ditemui meninggal dunia akibat melecur seluruh badan dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu.

"Pihak PGOKL terdahulu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan dan menghantar jentera bomba ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi, pihak bomba menemukan sebuah rumah teres satu tingkat kekal dipercayai terdapat seorang mangsa di dalamnya," menurut kenyataan itu.

Pihak bomba yang kemudiannya melakukan pemadaman dan hasil pencarian menemukan mangsa yang mempunyai penyakit strok, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, unit pengesan K-9 telah dipanggil ke lokasi untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 12:43 AM