GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Balqis Jazimah Zahari


Kampar: Lelaki warga emas berusia 72 tahun ditahan selepas disyaki membunuh isterinya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Cahaya, Gopeng di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa berusia 74 tahun yang lumpuh separuh badan, maut dipercayai akibat dikelar pada bahagian leher.

Menurutnya, pada jam 7.30 pagi, cucu mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek menyatakan neneknya sudah meninggal dunia.

"Cucu mangsa bersama ibu dan adiknya pergi ke rumah dan melihat nenek dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terdapat kesan kelar di leher.

"Melihat keadaan itu, cucu mangsa membuat laporan di Balai Polis Gopeng pada jam 10.59 pagi tadi.

"Pasukan polis tiba di rumah itu dan melihat mayat mangsa masih berada di tempat kejadian dalam kedudukan terbaring di atas katil di dalam bilik tingkat bawah rumah dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan kelar di bahagian leher.

"Polis turut menemui pisau di tepi mayat mangsa yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang hadir di tempat kejadian merampas pisau yang ditemui dan menahan suspek," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati rumah teres tingkat berkenaan tiada kamera litar tertutup (CCTV).

"Mangsa lumpuh separuh badan kerana mengidap penyakit strok, kencing manis, darah tinggi dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

"Suspek pula pengidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan perlu berjalan menggunakan tongkat," katanya.

Menurutnya, mangsa tinggal berdua bersama suami dan pemeriksaan mendapati tiada kesan pecah masuk di tempat kejadian.

"Kali terakhir saksi iaitu anak perempuan mangsa menemui ibunya di rumah itu pada jam 8 malam dan tiada perkara yang mencurigakan.

"Saksi lain iaitu seorang lagi cucu berkata ketika sampai di tempat kejadian, suspek didakwa ada berkata mahu mati juga," katanya.

Katanya, suspek tiada jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan Rabu ini di Unit Patologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 9:11 PM