GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Klang: Dua lelaki termasuk warganegara Bangladesh ditahan susulan kes samun dan cabul pelajar perempuan tingkatan tiga di Jalan Tok Sidang, Kampung Delek Kanan, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mereka ditahan kelmarin, selepas laporan mangsa membuat laporan pada hari kejadian, 6 Oktober lalu.

"Suspek pertama iaitu lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan pada 10.30 pagi Jumaat di sekitar sini dan kita merampas sebuah topi keledar MHR dan motosikal Demak Evo berwarna biru dipercayai digunakan dalam kejadian.

"Soal siasat ke atasnya membawa kepada tangkapan seorang warga asing berusia 44 tahun kerana membeli dua telefon pintar daripada suspek dipercayai dicuri.

"Kedua-duanya mengaku melakukan kesalahan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 9 malam, 6 Oktober lalu, suspek pertama yang juga penganggur menunggang motosikal dan memakai topi keledar bervisor gelap, menahan mangsa dan mengaku sebagai polis.

Suspek dipercayai meminta mangsa menunjukkan lesen memandu selain menyuruh mangsa menghubungi ibunya kerana mereka akan dibawanya ke balai polis.

Bagaimanapun, sebaik mangsa mengeluarkan telefon iPhone 6S, suspek bertindak merampasnya dan meraba payudara mangsa sebelum melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 12:13 PM