Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor akan meneliti semula prosedur standard operasi (SOP) aktiviti keagamaan di surau dan masjid di negeri ini jika kes Covid-19 terus meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pihaknya kini sedang meneliti kes semasa pandemik itu di negeri ini termasuk Kluster Bakawali di kawasan Johor Jaya.

Katanya, namun SOP sedia ada yang menetapkan satu pertiga kapasiti masjid dan surau bagi aktiviti termasuk solat berjemaah dan solat Jumaat masih kekal sehingga pengumuman selanjutnya.

"Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat sekiranya trend jangkitan kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan seperti beberapa hari lalu.

"Ia penting bagi kita meneliti semula sama ada terdapat keperluan meminda semula SOP aktiviti keagamaan di surau dan masjid negeri ini bagi mengelakkan penularan berlaku kepada jemaah pula.

"Kita juga akan turut meneliti semula status sekolah agama negeri jika penularan kes wabak Covid-19 terus mencatat peningkatan.

"Sebarang keputusan Majlis Fatwa Negeri Johor mengenai sama ada jika kaedah baharu SOP surau dan masjid perlu dibuat, akan dipersembahkan dahulu kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sebelum pengumuman rasmi dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mesra Prihatin Makmur Johor di Dataran Beringin Taman Beringin, Senai, dekat sini, hari ini.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, dilaporkan berkata, sembilan kontak rapat suami isteri yang mencetus Kluster Bakawali di Johor Jaya, yang disahkan positif Covid-19, Rabu lalu, meningkatkan kebimbangan masyarakat negeri ini mengenai penularan wabak berkenaan.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, Malaysia kini berada di permulaan gelombang ketiga Covid-19, susulan peningkatan mendadak kes jangkitan virus itu di negara ini.

Johor membenarkan solat Jumaat, solat jemaah fardu lima waktu, solat Aidiladha serta aktiviti agama dijalankan mengikut satu pertiga kapasiti masjid dan surau bermula, Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 12:46 PM