GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Akibat mengugut mahu membunuh isterinya, seorang pekerja kilang didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Bahau hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Mohd Hafiz Mohd Zulkepli, 38 dari Port Dickson, dekat sini selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan pada 3 Ogos lalu jam 2.15 petang bertempat di sebuah rumah di Kampung Serting Ulu, tertuduh dengan sengaja melakukan ugutan jenayah dengan memegang sebilah parang terhadap Aziah Thuanaris, 45.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes tertuduh melakukan ugutan terhadap Aziah ketika dia bersama dua adik dan seorang anaknya ke sebuah rumah di Kampung Serting Ulu bagi mengambil barang keperluan.

Bagaimanapun sebaik pulang ke rumah, berlaku pertengkaran mulut dengan isteri tertuduh sebelum dia mengamuk dan mengacukan sebilah parang kepada isterinya serta mengugut mahu membunuh tiga yang lain.

Tertuduh kemudian ditangkap sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson selepas mangsa membuat laporan polis.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 1:19 PM