FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang penganggur yang mempunyai 13 rekod jenayah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau di sini, tadi, selepas mengugut mahu membunuh anak saudaranya berusia lapan tahun menggunakan sebilah parang panjang.

Tertuduh, Rosazeman Mohd Esa, 35 didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di FELDA Pasoh pada jam 3 petang, 8 Disember tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Susulan itu tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan ugutan jenayah terhadap anak saudaranya itu selepas mangsa didakwa membuat bising.

Tertuduh yang tidak puas hati dengan kelakuan anak saudaranya itu bertindak mengambil sebilah parang panjang dan mengugut mahu membunuhnya.

Kejadian itu dilihat oleh kakak tertuduh yang juga ibu kepada kanak-kanak terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 3:25 PM