Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020 di Movenpick Hotel & Convention Centre. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020 di Movenpick Hotel & Convention Centre. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Rafidah Mat Ruzki


Sepang: Maqasid syariah menjadi prinsip panduan dalam menggerakkan usaha kerajaan untuk melawan pandemik Covid-19, biarpun pada zahirnya ia tidak diuar-uarkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, tema 'Malaysia Prihatin' yang menjadi aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kesihatan rakyat terpelihara daripada ancaman wabak Covid-19 yang melanda dunia dan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan selepas ia terjejas susulan serangan wabak itu sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, bagi umat Islam negara ini, pandemik Covid-19 menginsafkan dalam banyak aspek.

"Atas semangat 'Malaysia Prihatin', kerajaan mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP.

"Sehinggalah pada saat ini, kita masih lagi berada dalam fasa PKP pemulihan demi untuk memelihara keselamatan dan nyawa orang awam daripada ancaman wabak Covid-19.

"Dalam memelihara nyawa, seperti mengelakkan daripada penularan pandemik Covid-19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan PKP adalah hakikatnya merupakan pengaplikasian prinsip maqasid syariah.

"Berdasarkan statistik pertambahan pesakit dan kematian akibat pandemik ini, masyarakat sudah tentu memahami bahawa prinsip memelihara nyawa itu amat penting," katanya ketika merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan prihatin untuk mengelakkan penularan wabak berbahaya itu yang boleh menyebabkan kematian kepada rakyat.

Beliau berkata, dalam keadaan kebanyakan negara di dunia terpaksa melaksanakan perintah berkurung (lockdown), banyak urusan berkaitan dengan pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi tidak dapat dilakukan dalam keadaan biasa seperti sebelum ini.

Menurutnya, pemeliharaan agama menjadi satu topik penting dibincangkan kerajaan sepanjang pelaksanaan PKP yang mewujudkan satu normal baharu dalam kehidupan umat Islam.

"Antara normal baharu itu termasuk solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara yang perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Di peringkat awal, kita terpaksa menutup masjid dan surau untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat. Solat Jumaat tidak diadakan untuk beberapa ketika demi untuk memelihara nyawa rakyat.

"Alhamdulillah, pada hari ini masjid dan surau telah dibuka atas sebab kerajaan prihatin terhadap keperluan umat Islam untuk menjalankan ibadah yang merupakan sebahagian daripada prinsip hifzu al-din atau memelihara agama.

"Namun, prinsip ini diseimbangkan dengan prinsip hifzu al-nafs atau memelihara nyawa. Kerana itu, walaupun masjid dan surau dibuka dan solat berjemaah termasuk solat Jumaat dibenarkan, jemaah mesti mengamalkan normal baharu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 2:49 PM