JAGALAH diri kita dan orang lain dengan mengambil langkah pencegahan Covid-19 dengan lebih serius.
JAGALAH diri kita dan orang lain dengan mengambil langkah pencegahan Covid-19 dengan lebih serius.
Mohd Shahrizal Nasir

Pemeliharaan nyawa atau dalam bahasa Arab disebut hifz al-nafs adalah salah satu daripada lima objektif utama syariat Islam. Sering kali kita didengarkan dengan istilah Maqasid Syariah yang merujuk kepada lima perkara yang diberi perhatian utama melibatkan tujuan pensyariatan ketetapan dalam Islam. Semua lima perkara dalam cakupan Maqasid Syariah meliputi agama, nyawa, keturunan, harta dan akal yang berupaya menghasilkan kebaikan kepada umat dan mencegah kemudaratan.

Imam al-Shatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat menyatakan: "Sesungguhnya umat ini telah bersepakat, bahkan semua agama juga, bahawa sesungguhnya syariat diturunkan demi menjaga lima daruriyyat (keperluan penting) iaitu agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Dan pengetahuan tentangnya di sisi umat Islam adalah seperti perkara yang penting."

Justeru, Islam amat mementingkan perihal nyawa manusia kerana ia tidak boleh dipermainkan. Setiap manusia yang bernyawa di atas dunia ini berhak mendapat pemeliharaan dan perkara ini dijamin oleh Islam. Sebab itu perbuatan membunuh nyawa manusia dikenakan hukuman yang berat dalam Islam. Ini bagi memastikan manusia tidak sewenangnya memusnahkan peluang orang lain untuk menikmati kehidupan dunia.

Sebenarnya perkara melibatkan pemeliharaan nyawa yang dimaksudkan dalam Maqasid Syariah tidak semata-mata merujuk kepada penjagaan nyawa daripada sebarang bentuk jenayah pembunuhan. Hal ini merangkumi pelbagai perkara yang memberi kesan terhadap kehidupan. Menurut Ibnu 'Ashur, pemeliharaan nyawa atau hifz al-nafs turut merujuk aspek pemeliharaan nyawa individu dan masyarakat keseluruhannya daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.

Oleh itu, pencegahan penyakit berjangkit yang dapat menjejaskan kehidupan manusia juga termasuk dalam perkara yang berkaitan dengan pemeliharaan nyawa. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak dalam mendepani pandemik Covid-19. Petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik bagi mengekang penularan wabak Covid-19 sebenarnya sedang berjuang memelihara nyawa orang ramai seperti mana yang dituntut dalam Maqasid Syariah.

Bukan itu sahaja, malah setiap orang sebenarnya berperanan menjaga diri sendiri dan orang lain agar tidak terkena Covid-19. Dengan kata mudah, pelaksanaan Maqasid Syariah secara praktikal perlu digembleng secara bersama bukan sahaja oleh pihak berkuasa malah melibatkan peranan semua pihak hatta orang perseorangan.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan semua tempat di Malaysia termasuk kategori PKPB dan PKPP sekarang ini bertujuan mengelakkan penularan pandemik Covid-19. Perkara ini meskipun mungkin diterima dengan sukar oleh sesetengah pihak, tetapi pelaksanaannya dilihat amat perlu memandangkan berlaku peningkatan jumlah kes yang belum lagi menunjukkan penurunan. Kawasan yang terlibat dengan penularan wabak ini juga melibatkan hampir semua tempat di negara ini. Justeru, pelaksanaan PKP adalah satu bentuk pengaplikasian prinsip Maqasid Syariah iaitu memelihara nyawa.

Perkara ini perlu difahami oleh masyarakat agar tidak ada yang berpandangan PKP tidak mempunyai perkaitan dengan agama. Jika setiap orang memahami PKP adalah salah satu cara bagi memenuhi prinsip pemeliharaan nyawa yang digariskan dalam Maqasid Syariah, maka tidak mungkin ada lagi individu atau pihak tertentu yang melanggar ketetapan semasa PKP.

Orang yang tidak akur dengan ketetapan PKP memberi gambaran tentang kefahamannya yang memisahkan hal ini dengan agama. Tidak dinafikan ada individu yang terpaksa mendapatkan pelepasan tertentu ketika PKP namun pastikan ia diperoleh menerusi cara yang betul seperti mana ketetapan pihak berkuasa. Ketidakakuran terhadap ketetapan semasa PKP hanya akan mengundang berlakunya keadaan yang tidak diingini termasuk terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti gagal memakai pelitup muka (mask) ketika berada di tempat awam sebenarnya meletakkan dirinya dalam keadaan bahaya yang memudaratkan. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "… dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Sekiranya umat Islam benar-benar memahami bahawa pemeliharaan nyawa adalah satu daripada perkara penting yang dijaga oleh syarak, pastinya mereka tidak akan melanggar ketetapan yang dikenakan sepanjang tempoh PKP kali ini. Ingatlah sikap ingkar mematuhi ketetapan PKP bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri, tetapi juga orang lain.

Rasulullah SAW sendiri telah memberi petunjuk jelas tentang perlunya menjaga diri sendiri dan orang lain tatkala berdepan dengan musibah wabak penyakit. Sabda baginda bermaksud: "Ketika kalian mendengar wabak terjadi di suatu daerah, janganlah kalian mendatangi daerah tersebut. Dan jika wabak itu terjadi di daerah kalian berada, janganlah kalian pergi untuk melarikan diri dari daerah tersebut." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Peringatan demi peringatan perlu disebarkan kepada masyarakat agar sentiasa memainkan peranan bagi menamatkan penularan Covid-19 ini. Jika tiada keperluan untuk berada di tempat awam, maka elakkanlah daripada keluar rumah apatah lagi berada dalam keadaan bersesak-sesak dengan orang ramai. Sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam dan jangan bersalaman dengan orang walaupun perbuatan itu hakikatnya termasuk dalam amalan baik sebelum musim Covid-19.

Golongan tua lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19, maka tunjukkanlah rasa sayang terhadap mereka dengan sentiasa menjaga SOP ketika berurusan dengan golongan berkenaan. Semuanya perlu bermula daripada diri sendiri dan usah bergantung kepada orang lain untuk menjaga kesihatan kita.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain." (Hadis riwayat Ibnu Majah). Peringatan ini jelas menzahirkan betapa Islam mengajar umatnya agar sentiasa mengasihi diri sendiri dan juga orang lain khususnya apabila melibatkan nyawa. Jika kita tidak mahu diri menanggung ujian kesakitan maka jagalah setiap tingkah laku agar ia selari dengan SOP yang ditetapkan semasa pandemik Covid-19.

Jagalah diri kita dan orang lain dengan mengambil langkah pencegahan Covid-19 dengan lebih serius. Jangan jadikan hal ini sebagai satu perkara remeh apatah lagi menjadikannya sebagai bahan jenaka apabila melihat orang lain akur dengan SOP yang ditetapkan. Jadilah insan yang sentiasa menyampaikan pesanan baik kepada semua orang dan hindari diri daripada menjadi penghasut agar orang lain mengabaikan keperluan memerangi Covid-19.

Marilah kita memohon berbanyak keampunan daripada Allah SWT agar wabak ini segera berakhir. "Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu." (Surah ash-Shura, ayat 30)


Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:00 AM