Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkumpul di Magellan Sutera, di sini, sejak pagi tadi bagi persediaan untuk ke Istana Negeri.

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, mereka akan bergerak ke Istana Negeri pada bila-bila masa.

"Kami di sini sebagai persediaan untuk ke Istana Negeri, siapkan dokumen yang diperlukan sebelum kami bergerak ke sana pada bila-bila masa," katanya ketika ditanya pemberita.

Kehadiran mereka bersama beberapa ADUN Perikatan Nasional (PN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sekali gus menafikan spekulasi yang mereka menyokong pakatan Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membentuk kerajaan.

Antara ADUN PBS yang kelihatan ialah Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Datuk Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Julita Majungki (Matunggong).

ADUN daripada STAR pula antaranya adalah Datuk Ellron Angin (Sook), Robert Tawik (Bingkor) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

Turut kelihatan, ADUN Bebas, Datuk Masiung Banah (Kuamut).

PIMPINAN utama Gabungan Rakyat Sabah berkumpul untuk mesyuarat khas. FOTO Azrul Affandi Sobry
PIMPINAN utama Gabungan Rakyat Sabah berkumpul untuk mesyuarat khas. FOTO Azrul Affandi Sobry

Antara ADUN daripada BERSATU pula ialah Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang).

Jeffrey berkata, jika semua proses sudah selesai, mereka semua akan ke Istana untuk menyaksikan upacara angkat sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu.

"Kalau hari ini selesai semua urusan, kita akan ke Istana hari ini juga," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan siapa Ketua Menteri yang akan mengangkat sumpah.

Ditanya sama ada beliau akan memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey berkata tidak tahu mengenainya.

Sementara itu seorang ADUN daripada PBS yang enggan namanya disiarkan, mengakui menerima tawaran untuk menyertai parti lawan, namun pihaknya menolak.

Katanya, WARISAN seharusnya memegang slogan parti itu, 'Kepada Tuhan Kita Percaya' agar menerima kenyataan kekalahan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 12:04 PM