Omar Ahmad


Johor Bahru: Lebih 10 pelabur asing yang pernah melabur dalam beberapa projek di negeri ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula kembali melabur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber negeri Mohd Izhar Ahmad berkata, dengan kembalinya pelaburan itu, khususnya di kawasan Pasir Gudang dan Iskandar Puteri, ia mampu memberi lebih peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Antara sektor yang bakal ditawarkan adalah perkhidmatan, perbuatan dan elektronik.

"Kita ada mendapat maklum balas daripada pihak industri yang memerlukan pekerja. Malah selepas PKP, pelaburan asing juga kembali dan ia memerlukan tenaga kerja tempatan, jadi kita akan kumpulkan keperluan mereka dan membuat program seperti ini untuk pencari kerja.

"Saya belum dapat maklumat lengkap berapa kekosongan yang perlu diisi tetapi mereka menunjukkan minat, pelabur nak masuk dan mereka perlukan pekerja tempatan.

"Kita tidak mahu pekerja kita terus bergantung bekerja di Singapura. Apa yang jadi semasa Covid-19 ini menjadi pengajaran, dan ini adalah masa supaya mereka kembali bekerja dalam negara," katanya.

IZHAR (dua dari kiri) melihat temuduga secara dalam talian oleh pencari kerja di Minggu Kerjaya Johor 2020 di Geleria @ Kotaraya. FOTO Omar Ahmad
IZHAR (dua dari kiri) melihat temuduga secara dalam talian oleh pencari kerja di Minggu Kerjaya Johor 2020 di Geleria @ Kotaraya. FOTO Omar Ahmad

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Minggu Kerjaya Johor 2020 di Galeria @ Kotaraya di sini, hari ini.

Menurut Izhar, lebih 10 pelabur asing akan kembali melabur di negeri ini.

"Selain itu, kita juga menerima pelaburan baru dari Timur Tengah, namun perincian lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 7:52 PM