SEBAHAGIAN daripada 19 guni kain batik seludup yang dirampas malam kelmarin. FOTO ihsan PGA8
SEBAHAGIAN daripada 19 guni kain batik seludup yang dirampas malam kelmarin. FOTO ihsan PGA8
Siti Rohana Idris


PIHAK berkuasa mengekori sebuah pacuan empat roda sejauh 25 kilometer di jalan lama Pasir Mas-Kota Bharu, malam kelmarin, sebelum berjaya merampas 19 guni kain batik seludup yang dianggarkan bernilai RM182,400.

Kain batik jenis lukis yang dirampas pihak berkuasa itu dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8), Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, ketika anggotanya membuat rondaan di jalan lama Pasir Mas-Kota Bharu pada 10.30 malam, mereka ternampak sebuah pajero dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pasukan rondaan berkereta terus mengekori Pajero berkenaan sehingga Jalan Pintu Geng, Wakaf Che Yeh.

"Sebaik menyedari kehadiran pasukan rondaan, kenderaan itu berhenti di bahu jalan dan pemandu serta penumpang melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Hasil pemeriksaan ke atas muatan barangan yang dibawa terdapat 19 bungkusan guni mengandungi lapan kodi kain batik jenis lukis yang dianggarkan bernilai RM182,400," katanya menerusi satu kenyataan media.

Muhammad berkata, semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu bermula 16 hingga 23 Ogos sempena penugasan Ops Benteng, sebanyak RM2.5 juta nilai rampasan dicatatkan dan seramai 33 tangkapan individu dibuat termasuk 24 kenderaan yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan.

"PGA menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam membantu Ops Benteng termasuk masyarakat setempat yang memberikan kerjasama serta menyalurkan maklumat kepada kami.

"PGA8 akan terus mempertingkat serta mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang hingga Pengkalan Kubor bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 11:39 AM