GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah kembali merekodkan kes baharu Covid-19 membabitkan banduan yang mencetuskan kluster di pusat tahanan atau penjara selepas seorang banduan lelaki disahkan positif melalui saringan dijalankan di Tawau, baru-baru ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, banduan itu yang dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu ke blok kuarantin di Blok Ehsan, Tawau pada 11 Jun lalu didapati positif ketika saringan hari ke-10 pada 21 Jun.

Katanya, banduan terbabit mencetuskan Kluster Tembok yang dilaporkan di Tawau hari ini selepas lapan lagi kes positif Covid-19 termasuk membabitkan warden dikesan setakat ini.

"Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Kluster membabitkan warga penjara termasuk banduan pernah dilaporkan di Penjara Tawau pada September dan Oktober tahun lalu, iaitu ketika gelombang kedua penularan Covid-19 yang menyaksikan Sabah mencatat kes harian tertinggi berbanding negeri lain hingga akhir tahun lalu.

Sementara itu, kerajaan negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu selama dua minggu bermula Isnin ini selepas 18 kes baharu Covid-19 dikesan.

Lokaliti berkenaan juga pernah dikenakan PKPD ketika gelombang kedua penularan Covid-19 di Sabah pada Oktober hingga November tahun lalu.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, sebanyak 10 kilang di Tawau dikompaun kerana gagal mematuhi kehadiran 60 peratus tenaga kerja sektor perkilangan yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, kompaun itu dikeluarkan ketika operasi pemeriksaan SOP yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri dengan kerjasama pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen pada 13 Jun hingga 23 Jun lalu.

Sabah hari ini mencatat 189 kes baharu positif Covid-19 dengan satu kluster baharu dan tiada kematian dilaporkan, manakala seramai 145 pesakit sembuh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 9:24 PM