Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Ketua Anak Negeri atau pemimpin adat di Putatan dikenal pasti sebagai kes indeks yang mencetuskan Kluster Meruntum seperti dilaporkan di daerah itu hari ini.

Jurucakap Perkembangan Harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, individu terbabit dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala di sebuah klinik swasta pada 8 April lalu.

Menurutnya, kes indeks itu dikenal pasti menghadiri majlis akikah di Kampung Meruntum Fasa III pada 27 hingga 28 Mac lalu, selain menghadiri kursus di Majlis Daerah Putatan pada 31 hingga 1 April.

"Setakat 9 April, seramai 71 kontak rapat sudah disaring dengan lapan daripadanya didapati positif Covid-19, manakala seramai 62 orang lagi masih menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, hari ini saja dua kes baharu dikesan membabitkan kluster berkenaan, masing-masing seorang dari Putatan dan Penampang.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, secara keseluruhan Sabah merekodkan 127 kes baharu Covid-19 dengan Tawau terus mendahului senarai kes tertinggi iaitu sebanyak 81 kes.

Berikutan peningkatan mendadak kes di Tawau, katanya, kerajaan negeri bersetuju agar lapan lokaliti di daerah itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 25 April ini.

Lokaliti terbabit ialah Taman Sri Bukit Tawau, Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Bandar Sri Indah, Jalan Mesra, Kampung Titingan dan Taman Golden Hill.

"Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 76 kes positif Covid-19 dan 220 orang kontak rapat dikesan dalam lapan lokaliti itu. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan berlaku penularan jangkitan COVID-19 di lokaliti terbabit dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi," katanya.

Seluruh Tawau ketika ini juga masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama daerah Keningau dan Lahad Datu.

Masidi menambah, bagi mengekang penularan Covid-19 daripada meningkat mendadak semula, kerajaan negeri menggalakkan pelaksanaan bekerja dari rumah bagi penjawat awam dan swasta di kawasan yang dikenakan PKPD dan PKP.

"Bagi membendung penularan pandemik Covid-19, kerajaan negeri meminta orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengurangkan kehadiran ke kawasan tumpuan awam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 April 2021 @ 9:36 PM