ANTARA mat rempit yang ditahan selepas didapati melakukan aksi berbahaya di sepanjang Kilometer 212 hingga Kilometer 217 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Alor Gajah, Melaka, semalam.
ANTARA mat rempit yang ditahan selepas didapati melakukan aksi berbahaya di sepanjang Kilometer 212 hingga Kilometer 217 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Alor Gajah, Melaka, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan tujuh mat rempit mempamerkan aksi berbahaya di sepanjang Kilometer 212 hingga Kilometer 217 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Alor Gajah, Melaka mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sepasukan anggota yang melakukan pemantauan Op Samseng Jalanan terserempak dengan sekumpulan lelaki itu pada 5.45 petang.

"Mereka dilihat menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya termasuk menundukkan badan dan zig-zag di sepanjang laluan berkenaan.

"Sekumpulan lelaki itu kemudian dilihat memberhentikan kenderaan mereka di bahu jalan berhadapan Plaza Tol Port Dickson, Negeri Sembilan pada 6.20 petang (semalam) sebelum mereka ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut mengeluarkan 13 notis saman atas pelbagai kesalahan terhadap tujuh suspek berusia antara 20 hingga 24 tahun itu.

"Semua suspek bersama motosikal mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 9:16 PM