Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu pandemik Covid-19 di negara ini iaitu Kluster Selamat di Semporna, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Selamat dikesan selepas kes indeks kluster (iaitu kes ke-9969) adalah seorang wanita warganegara berusia 32 tahun.

"Beliau didapati positif Covid-19 pada 14 September lalu ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang.

"Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection), satu lagi kes positif Covid-19 dikesan," katanya menerusi kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes berkenaan membabitkan seorang pegawai perubatan yang merawat kes indeks.

"Sehingga hari ini, seramai 118 individu sudah disaring dalam kluster ini daripada jumlah itu dua kes dikesan positif Covid-19.

"Manakala, 116 individu masih menunggu keputusan, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster (Selamat) ini giat dijalankan di lapangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 6:07 PM