ANTARA saudara baru yang sudah mampu membaca al-Quran. FOTO ihsan Jawi
ANTARA saudara baru yang sudah mampu membaca al-Quran. FOTO ihsan Jawi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Berkat kesungguhan 30 saudara baru dalam mendalami al-Quran, mereka kini sudah berjaya membaca kitab suci itu dalam tempoh singkat selepas mengikuti Kelas Intensif Fardhu Ain (KIFA) Saudara Baru di Kompleks Darul Hidayah (KDH), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail berkata, secara keseluruhan prestasi ditunjukkan semua saudara baru yang mengikuti kelas berkenaan adalah memberangsangkan.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan dalam tempoh tujuh hari dengan memberikan fokus kepada bacaan Al-Quran menggunakan Kaedah Al-Hira' iaitu boleh membaca Al-Quran dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya, ada yang belajar secara bersemuka dengan guru dan sebahagiannya juga belajar secara online.

"Semuanya mempunyai latar belakang berbeza namun dengan niat sama iaitu mendalami bacaan al-Quran secara intensif. Hasilnya amat memberangsangkan, Alhamdulillah.

"Ada yang langsung tiada asas dalam bacaan Al-Quran. Bermula sejak Julai lalu, ada yang sudah dapat membaca dengan baik," katanya.

Mohd Ajib berkata, ada dalam kalangan mereka mempunyai asas Iqra' 3 dan dapat membaca selepas empat hari mengikuti kelas terbabit.

Menurutnya, ada juga yang mengikuti pembelajaran secara online selama sebulan dan sudah boleh membaca Al-Quran.

"Tahniah kepada semua pelajar serta tenaga pengajar dan teruskan usaha tanpa jemu untuk mempelajari dan memperbetulkan bacaan al-Quran kerana, Nabi SAW menyifatkan golongan ini sebagai sebaik-baik manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 5:28 PM