Jalan Gunung-Sungai Korok menghala ke Alor Setar  yang ditutup susulan PKPD secara pentadbiran di kawasan jangkitan Kluster Sungai dan Kluster Telaga. FOTO AMRAN HAMID
Jalan Gunung-Sungai Korok menghala ke Alor Setar yang ditutup susulan PKPD secara pentadbiran di kawasan jangkitan Kluster Sungai dan Kluster Telaga. FOTO AMRAN HAMID
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Bantuan makanan yang diagihkan kerajaan negeri bukan untuk kesemua 366,787 penduduk daerah Kota Setar, sebaliknya hanya untuk penduduk yang terputus bekalan makanan sahaja.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan itu akan ditambah jika perlu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sehingga 25 September depan.

Menurutnya, terdapat pihak yang mempersoalkan peruntukan RM1 juta itu mencukupi untuk 366,787 penduduk di Kota Setar.

"Ingin dijelaskan bahawa peruntukan ini hanya peruntukan awal dan akan ditambah jika perlu.

"Dalam menyediakan peruntukan ini, kita mengambil kira beberapa aspek termasuk kira-kira 5,600 penduduk Kota Setar adalah penerima bantuan tetap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 400 penerima bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA).

"Dengan itu, mereka dikira tidak termasuk dalam kategori penduduk yang berkemungkinan terputus bekalan makanan dalam situasi PKPD ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, setakat ini kerajaan negeri belum menerima peruntukan khusus daripada kerajaan pusat bagi membantu penduduk Kota Setar yang terjejas akibat arahan PKPD itu.

"Kerajaan negeri pada masa ini mempunyai keupayaan kewangan yang sangat terhad," katanya.

Katanya, golongan peniaga kecil atau penjaja tepi jalan serta pekerja yang tidak mempunyai pendapatan tetap mungkin terjejas dan mereka menjadi fokus kerajaan untuk diberikan bantuan.

"Masjid juga menyediakan 'food bank' daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang boleh menjadi alternatif dalam membekalkan makanan atau barangan keperluan asas kepada penduduk yang terjejas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 5:54 PM