AHMAD Zahid beramah mesra dengan pelajar ketika menghadiri program lawatan ke IMAS di Putrajaya.
AHMAD Zahid beramah mesra dengan pelajar ketika menghadiri program lawatan ke IMAS di Putrajaya.
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Semua pihak diharap berlapang dada terhadap apa saja keputusan kerajaan berhubung pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) yang dibuat kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menghormati pandangan dikeluarkan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya pembentangan pindaan itu ditangguhkan dan fatwa yang dikeluarkan mengenainya sebelum itu.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang akan diberi tanggungjawab membentangkan pindaan itu.

“Saya sudah membaca teks kenyataan beliau (Harussani) sepenuhnya dan kita menghormati pandangan beliau (Harussani) dan fatwa yang dibuat sebelum ini. Tetapi sebagaimana yang dimaklumkan speaker Dewan Rakyat, kita akan melihat kepentingan negara mengatasi kepentingan lain.

“(Jadi) Kita harap apa juga keputusan yang dibuat kerajaan kita mesti berlapang dada, kita menghormati semua agama dan hak semua kaum dan keputusan kerajaan adalah berdasarkan kepentingan negara,” katanya ketika ditemui media selepas melawat Sekolah Moden Arab Antarabangsa (IMAS) di Presint 14, di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan Harussani menggesa kerajaan menangguhkan RUU berkenaan kerana beberapa pindaannya bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam.

Beliau dipetik berkata, pindaan itu juga bertentangan dengan fatwa diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 pada Jun 2009 yang memutuskan apabila pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu secara automatik beragama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 3:53 AM