ANGGOTA Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) menahan 183 pengunjung yang tidak mematuhi SOP. FOTO BERNAMA
ANGGOTA Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) menahan 183 pengunjung yang tidak mematuhi SOP. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gara-gara leka berhibur tanpa menghiraukan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), 183 pengunjung ditahan di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang, hari ini.

Ketika serbuan Ops Noda oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 12.50 tengah malam itu, premis hiburan berkenaan masih memainkan muzik dengan kuat dan pengunjung dalam keadaan sesak tanpa menghiraukan amalan penjarakan fizikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) IPK Kuala Lumpur Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata daripada 183 yang ditahan itu, 75 adalah pengunjung wanita berusia antara 21 dan 40 tahun.

"Polis turut menahan 12 pekerja premis berkenaan termasuk enam pekerja warga asing yang dipercayai bekerja tanpa permit kerja sah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian selepas mengetuai operasi tersebut.

Dalam operasi yang berakhir kira-kira 3 pagi itu, polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya pembesar suara, telefon bimbit selain wang tunai berjumlah RM2,000.

Menurut beliau, semakan awal premis berkenaan menunjukkan ia beroperasi tanpa lesen.

Kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1993, Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan 1952.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 8:11 AM