FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Keseronokan 112 pengunjung mendengar muzik sehingga ada yang menari tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di sebuah pusat hiburan di Sri Petaling di sini, mengundang padah apabila diserbu polis malam tadi.

Serbuan pada 11.10 malam itu dibuat selepas polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai pusat hiburan beroperasi tanpa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, ketika serbuan didapati pengunjung yang berada di dalam premis sedang leka mendengar muzik yang kuat hingga ada yang menari dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati seramai 121 orang berada di premis itu dan 112 orang adalah pengunjung termasuk 40 wanita serta sembilan pekerja premis itu.

"Tindakan kompaun diambil terhadap 109 orang pengunjung tempatan, seorang bertaraf penduduk sementara dan seorang penjaga premis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saiful Annuar berkata, tiga lelaki warga asing pula ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

"Seramai 45 orang pula diminta menjalani ujian saringan awal air kencing dan kesemua mereka didapati negatif dadah.

"Beberapa peralatan premis turut dirampas dan tindakan serta siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 25(a) dan Seksyen 25(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.4) 2021," katanya.

Menurutnya, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dengna menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03- 2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 2:37 PM