GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: MCA Sabah akan mempertandingkan empat calon untuk empat kerusi di bawah Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Kerusi itu ialah Elopura, Karamunting, Likas dan Kapayan yang juga kerusi tradisional parti berkenaan.

Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, berkata pihaknya tekad mahu berkhidmat di empat Dewan Undangan Negeri (Dun) terbabit sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

"MCA Sabah memiliki kekuatan tersendiri dalam usaha untuk memperjuangkan nasib komuniti Cina di Sabah.

"MCA juga akan bertanding menggunakan logo BN atas keyakinan bahawa rekod BN terdahulu yang cukup cemerlang dalam membantu rakyat dan masih mampu menarik semula sokongan masyarakat kepada parti berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat Sabah perlu diberikan pembelaan semula selepas hampir 26 bulan berada di bawah pemerintahan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang disifatkannya hanya indah khabar daripada rupa.

"Ketidakadilan kerajaan Warisan terhadap rakyat adalah motivasi utama MCA Sabah untuk terus bertanding kali ini.

"Jentera MCA juga telah bersiapsiaga untuk berganding dengan jentera rakan dalam BN dan rakan strategik yang baharu di pihak PN bagi menghadapi blok Warisan dan sekutunya," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 9:13 PM