KEADAAN di Stesen Masjid Jamek, susulan hujan lebat, semalam. FOTO Hazreen Mohamad
KEADAAN di Stesen Masjid Jamek, susulan hujan lebat, semalam. FOTO Hazreen Mohamad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji punca berlakunya banjir kilat di ibu negara, semalam, serta mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengelakkan kejadian itu daripada berulang.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau akan meminta laporan daripada Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan keupayaan sistem pengairan dan mitigasi sedia ada.

Beliau berkata perlu dilihat juga, sama ada wang berbillion yang dibelanjakan untuk buat sistem mitigasi dan Terowong Smart dan sebagainya berfungsi dengan baik, atau ia belum mencukupi dan sama ada kawalan pembangunan yang lebih teliti diperlukan.

Annuar berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan banjir kilat yang disifatkan antara terburuk dan luar biasa itu, berpunca daripada pembangunan yang sedang dijalankan di beberapa lokasi.

"Saya nak lihat adakah aliran air yang banyak itu ada kaitan dengan kawasan yang sedang dibangunkan, kajian perlu dibuat untuk membolehkan DBKL melihat pelaksanaan pelan jangka panjang," katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya ketika mengadakan lawatan di pusat pemindahan banjir kilat di sini, malam tadi.

Annuar berkata, jumlah taburan hujan yang lebih daripada biasa dan tidak berpadanan dengan sistem saliran sedia ada, juga dilihat menjadi punca kepada kejadian itu.

Hujan lebat yang bermula pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi mengakibatkan lima kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat iaitu di Lebuh Ampang di pusat bandar, Jalan Raja Alang (Kampung Baru), Lorong Air Leleh (Setapak) dan Jalan Gurney serta Jalan San Ah Wing (Semarak).

Banjir kilat itu menyebabkan air naik setinggi satu hingga tiga meter di kawasan terjejas.

Seramai 15 mangsa yang terperangkap akibat banjir di Jalan Gurney dan Kampung Periuk di Jalan Raja Alang, telah diselamatkan oleh pihak bomba.

Banjir punca penutupan lebuh raya SMART

Hujan lebat semalam menyebabkan penutupan Lebuhraya SMART kepada lalu lintas, bagi membolehkan pengaktifan sistem banjir dan disusuli dengan pelepasan air banjir ke dalam sistem takungan Terowong SMART.

Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn Bhd dalam satu kenyataan menyatakan, langkah itu diambil atas arahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, yang diterima pada 4 petang.

Pengumuman status operasi Terowong Lebuhraya SMART akan dihebahkan melalui media, papan maklumat elektronik (VMS), dan juga di laman web SMART, http://www.smarttunnel.com.my, twitter@smarttunnel ataupun "Smart Tunnel" di Facebook.

Maklumat lanjut atau pertanyaan boleh menghubungi ke talian SMART 1-300-88-7188.

Berita berkaitan:

  • SPEKTRUM: Banjir kilat pusat bandar
  • Buka pusat pemindahan banjir
  • Ibu kota dilanda banjir kilat [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 11:24 AM