Nor Faezah (tengah) dibawa ke lokap mahkamah sementara menunggu bayaran jaminan selepas didakwa tiga pertuduhan salah guna harta kerajaan, hari ini. FOTO L Manimaran
Nor Faezah (tengah) dibawa ke lokap mahkamah sementara menunggu bayaran jaminan selepas didakwa tiga pertuduhan salah guna harta kerajaan, hari ini. FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, dengan tiga pertuduhan salah guna harta Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak berjumlah keseluruhan RM11,108 pada 2015.

Tertuduh, Nor Faezah Mohd, 34, yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Akauntan JKR Perak didakwa menyalahgunakan harta iaitu Peruntukan Kecil Kerajaan Negeri Perak Belanjawan Bagi Tahun 2015 untuk program dengan membuat kelulusan pembayaran baucer bayaran kepada syarikat Sricomp Solutions.

Bayaran itu dibuat tanpa kelulusan Ketua Jabatannya Penolong Pengarah Kanan JKR Cawangan Mekanikal Perak Ahmad Fikri Mohamed Omar.

Baucer bayaran berjumlah RM3,240 dibuat pada 26 Jun 2015, RM3,868 pada 30 Jun 2015 dan RM4,000 pada 8 Julai 2015 kepada syarikat yang sama.

Nor Faezah didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan bagi ketiga-tiga pertuduhan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang kini bertugas di Hospital Taiping tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Pihak pendakwaan meminta mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Nor Faezah kemudian merayu mahkamah mengurangkan jaminan kerana hanya mempunyai wang simpanan sebanyak RM5,000 dan perlu menanggung ibu bapanya.

Indra Nehru menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 untuk ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin ahli keluarga terdekat dan 23 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 10:54 AM