JAHARA (kanan) bersama Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dr Roslan Ahmad (empat dari kanan) bersama-sama memotong riben gimik sempena majlis perasmian wad pesakit terlandar di Rumah Kebajikan Darul Hanan di sini. FOTO DANIAL SAAD
JAHARA (kanan) bersama Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dr Roslan Ahmad (empat dari kanan) bersama-sama memotong riben gimik sempena majlis perasmian wad pesakit terlandar di Rumah Kebajikan Darul Hanan di sini. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Rumah kebajikan Darul Hanan, Pongsu Seribu, di sini, mewujudkan wad pesakit terlantar bagi memberi khidmat dan penjagaan terhadap penghuni beragama Islam yang uzur.

Ini menjadikan wad pesakit terlantar kedua diwujudkan di negara ini khusus untuk warga emas beragama Islam selepas yang pertama di Selangor.

Pengerusinya, Datuk Jahara Hamid berkata, pihaknya sudah merancang untuk mewujudkan wad pesakit terlantar berkenaan sebelum rumah kebajikan itu dibina.

"Kita memang sudah lama merancang, tetapi kita bangunkan perlahan-lahan hingga akhirnya sempena 10 tahun penubuhan rumah kebajikan ini kita dapat melihat wad pesakit terlantar diwujudkan.

"Wad ini mempunyai kemudahan 30 katil dengan memperuntukkan 15 katil untuk warga emas golongan asnaf, manakala selebihnya untuk kategori warga emas yang berkemampuan.

"Bayaran yang dikenakan bagi golongan bukan asnaf adalah RM1,800 sebulan termasuk khidmat fisioterapi sekali gus menampung kos operasi," katanya

Beliau berkata demikian selepas merasmikan wad pesakit terlantar rumah kebajikan Darul Hanan, di sini, hari ini.

Katanya, kemudahan katil di wad pesakit terlantar itu hasil kutipan dana wakaf yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

"Menerusi usaha ini, kita berjaya mengumpul sebanyak RM41,265 di mana ia digunakan untuk membeli kemudahan di wad pesakit terlantar.

"Kita amat mengalu-alukan sesiapa yang ingin mewakafkan 10 katil lagi serta lampin pakai buang selain peralatan fisioterapi dan alat-alat bantuan lain bagi kegunaan penghuni.

"Selain itu, kami mempelawa tenaga sukarelawan dalam kalangan profesional untuk menghulurkan bantuan bagi memastikan kelancaran daripada segi pengurusan," katanya.

Katanya, ketika ini, Darul Hanan mempunyai 31 petugas termasuk tukang masak dan 11 penjaga yang menguruskan kebajikan penghuni warga emas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 4:29 PM