CUCU Fadilah, Mohd Hifni Mohd Ghazali menemaninya di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang.
CUCU Fadilah, Mohd Hifni Mohd Ghazali menemaninya di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Seorang warga emas, Fadilah Hanan, 82, yang juga pesakit angin ahmar menempuh detik cemas apabila rantai emas miliknya diragut ketika tidur di ruang tamu rumahnya di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu mangsa tidur bersendirian di ruang tamu rumah.

Katanya, kejadian berkenaan disedari cucu mangsa selepas mendengar jeritan neneknya.

“Ketika kejadian, cucu lelaki mangsa yang tidur di bilik berasingan terdengar warga emas itu menjerit dan bangun bagi meninjau keadaan.

“Mangsa yang tidur di ruang tamu kemudian memberitahu rantai leher dipakainya direntap lelaki tidak dikenali,” katanya.

Beliau berkata, tiada saksi yang melihat kejadian itu dan suspek melarikan diri sebaik mangsa menjerit.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai masuk melalui tingkap dapur.

Katanya, selain rantai emas, sebuah telefon berjenama yang rosak milik mangsa juga hilang.

Sehubungan itu katanya, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan polis.

Mereka juga boleh menyalurkan maklumat berkenaan melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2017 @ 10:03 AM