INDIVIDU yang ditahan ketika leka bermain judi di sebuah kolam ternakan ikan. FOTO Ihsan Polis
INDIVIDU yang ditahan ketika leka bermain judi di sebuah kolam ternakan ikan. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


KESERONOKAN lima lelaki bermain judi di sebuah kolam ternakan ikan di Jalan Penchala 7, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, terbantut selepas 'sarang' perjudian mereka diserbu pihak polis, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Polis Balai Taman Tun Dr Ismail melakukan serbuan Operasi Ambang Merdeka 2020 Polis Brickfields di lokasi itu pada 1.30 pagi.

"Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati terdapat lima lelaki berusia antara 57 tahun hingga 60 tahun sedang leka bermain judi daun terup sebelum mereka ditahan anggota polis bertugas.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami merampas 110 daun terup dan wang tunai berjumlah RM2,452 daripada suspek yang digunakan untuk pertaruhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, semua suspek berkenaan dibawa ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana bermain judi di tempat awam.

"Kelima-lima lelaki itu juga dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan) 2020.

"Kami memandang serius untuk menangani isu perjudian di tempat awam di sekitar daerah ini. Tindakan tegas akan diambil kepada pihak penganjur serta pihak yang terbabit dalam kegiatan perjudian," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 15 pegawai kanan dan 83 anggota terbabit dalam Operasi Ambang Merdeka 2020 Polis Brickfields membabitkan tujuh sekatan jalan raya serta pemeriksaan oleh tiga pasukan serbuan di beberapa premis perniagaan termasuk restoran dan pub di daerah ini bermula 10 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam.

"Sekatan jalan raya dan pemeriksaan dalam operasi ini dilakukan adalah bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain membanteras kegiatan jenayah di daerah ini.

"Seramai 230 individu serta 288 kenderaan pelbagai jenis diperiksa dalam operasi ini dan hasil pemeriksaan itu, sebanyak lapan saman dikeluarkan pihak polis atas pelbagai kesalahan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengikuti SOP PKPP bagi mengelak tindakan dikenakan terhadap mereka.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau pelanggaran arahan PKPP di daerah ini boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 11:46 AM