Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis gagal selepas motosikal ditunggangnya terbabas di persimpangan Jalan Klang Lama, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Petaling menjalankan Operasi Pintu di sekitar kawasan berkenaan sebelum menahan lelaki berkenaan yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan jam 4.30 petang.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek cuba melarikan diri dengan motosikal. Namun, dia berjaya ditahan selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri di persimpangan jalan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemui beberapa senjata tajam dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah di dalam beg milik lelaki berkenaan.

"Antara barang yang dirampas adalah satu pisau, satu lampu suluh, lima pemutar skru, dua batang besi yang diubah suai, satu parang bersarung, satu tukul kuku kambing, satu set spanar, satu pemotong dawai besi, satu pahat, satu pen ujian dan serangkai anak kunci bersama alat kawalan jauh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zairulnizam berkata, siasatan awal dilakukan mendapati suspek mengaku terbabit dengan beberapa kes pecah rumah di kawasan sekitar daerah ini.

"Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes dadah. Suspek direman selama empat hari bermula kelmarin hingga esok untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas kesalahan memiliki senjata serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya membawa atau memiliki sebarang jenis senjata berbahaya kerana ia boleh disabitkan dengan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 10:13 AM