Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI maut dipercayai dilanggar kereta api di landasan komuter Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 12.12 tengah hari.

“Menurut saksi, mangsa keluar dari pintu belakang sebuah kedai makan dan menyeberangi landasan kereta api berkenaan yang tidak berpagar untuk ke sebuah bengkel.

“Hasil siasatan awal serta keterangan daripada anak perempuannya mendapati mangsa adalah warga tempatan berusia 58 tahun yang tinggal di Kampung Pandan dan sering ke Pantai Dalam untuk menghantar surat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, pegawai perubatan yang hadir melakukan pemeriksaan mengesahkan kematian mangsa.

“Mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi serta pada badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 12:36 AM