Shamran Sarahan dan Raja Noraini Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kelekaan orang ramai terhadap bahaya Covid-19 menyumbang peningkatan nilai Rt atau R naught (Ro) di negara ini kepada 1.72 berbanding dicatatkan pada dua minggu lalu iaitu hanya 0.72.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan ketara itu memberi gambaran situasi risiko berlakunya lebih banyak transmisi dalam komuniti.

"Berdasarkan penilaian dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat juga peningkatan pergerakan masyarakat di dalam Malaysia.

"Masyarakat kemungkinan kian alpa dan tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Nasihat yang diberikan juga mula diambil ringan termasuk petugas barisan hadapan dalam kalangan petugas kesihatan dan lain-lain agensi," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

DR NOOR Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA
DR NOOR Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA

Noor Hisham berkata, petugas barisan hadapan mempunyai risiko tinggi dijangkiti Covid-19 atau penyakit berjangkit lain ketika berada di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta.

"Selain itu, petugas kesihatan juga boleh mendapat jangkitan semasa berada dalam komuniti iaitu sama seperti individu lain dalam masyarakat. Justeru, pematuhan 100 peratus terhadap garis panduan serta tatacara pengurusan semasa bertugas dan tidak bertugas adalah amat penting.

"Ketidakpatuhan akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 seperti direkodkan hari ini membabitkan seorang anggota kesihatan daripada Kluster Sungai yang menjangkiti tujuh ahli keluarganya.

"Mengambil iktibar daripada kejadian ini, KKM menggesa semua petugas kesihatan, petugas barisan hadapan pelbagai agensi dan semua lapisan masyarakat mengambil serius situasi Covid-19 di dalam negara dengan (mengamalkan) langkah berjaga-jaga pada setiap masa," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:35 PM