Dua bayi yang ditinggalkan do R&R Beranang dan Gerai MPK. Foto Ihsan JKM
Dua bayi yang ditinggalkan do R&R Beranang dan Gerai MPK. Foto Ihsan JKM
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Waris kepada dua bayi masing-masing yang ditinggalkan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Beranang dan Gerai Majlis Perbandaran Klang (MPK) Taman Seri Andalas, Klang diminta tampil bagi membantu urusan dokumentasi.

Bagi kes pertama, pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Lockman Hakim Tomirin berkata, bayi perempuan yang ditinggalkan kepada orang awam di R&R Beranang menghala ke Kajang pada 11 September lalu berusia lingkungan tiga hingga empat bulan.

"Bayi berkenaan kini dalam pemantauan doktor di Hospital Kajang, kami kini sedang mengesan ibu kandung atau warisnya.

"Mereka diminta menghubungi talian 03-87378007 bagi urusan dokumentasi," katanya.

Sementara itu, pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang Nik Ahmad Nabal Nik Mansor meminta waris atau ibu kandung kepada bayi lelaki dinamakan Muhamad Rafiq Irfan berusia enam bulan tampil ke pejabat itu.

"Bayi lelaki ditemui orang awam iaitu pekerja pembersihan sampah pada 9 Mac lalu di belakang gerai MPK Taman Seri Andalas, Klang tanpa sebarang maklumat dan dokumen.

"Bayi berkenaan ditemui dalam keadaan masih lagi bertali pusat dan kesejukan dengan dibaluti selimut. Tiada sebarang maklumat berkenaan ibu atau bapa kandung diperolehi," katanya.

Menurutnya, bayi berkenaan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk mendapatkan rawatan dan tindakan selanjutnya dan dirujuk ke pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 16 Mac lalu.

Orang ramai mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Nik Ahmad Nabal di talian 03-33413913.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 8:39 PM