ZULKIFLI (kiri) menunjukkan bungkusan dipercayai daun ketum yang dirampas. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
ZULKIFLI (kiri) menunjukkan bungkusan dipercayai daun ketum yang dirampas. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf


Gerik: Empat lelaki ditahan polis bersama 1,330 kilogram dipercayai daun ketum dengan anggaran nilai RM13,000 antara 9 hingga 9.30 malam pada Jumaat lalu.

Keempat-empat suspek yang menaiki dua kenderaan bersama muatan berkenaan ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dalam sekatan jalan raya di Kilometer 9 Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) di Sungai Lebey dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gerik Superitendan Zulkifli Mahmood berkata, semua suspek berjaya ditahan melalui dua kenderaan berasingan serta daun tumbuhan dipercayai daun ketum yang diisi dalam bungkusan plastik hitam.

Menurutnya, kenderaan pertama yang juga pacuan empat roda dinaiki dua orang ditahan selepas didapati membawa 68 bungkusan plastik hitam daun tumbuhan berkenaan seberat 680 kg yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.

Katanya, kenderaan kedua yang ditahan pula membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) juga dinaiki dua orang.

"Kenderaan itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati 650 kg daun tumbuhan sama dalam 65 bungkusan plastik hitam yang diletakkan di ruang tempat duduk kedua.

"Siasatan awal mendapati mereka aktif membawa daun berkenaan sejak Ogos lalu dengan kekerapan merentasi kawasan Gerik dari Kelantan ke Kedah sebanyak dua kali seminggu," katanya ketika sidang media di IPD Gerik hari ini.

Zulkifli berkata, keempat-empat suspek yang berusia antara 27 dan 37 bergerak dari Kelantan ke Kedah pada waktu pagi dan kembali semula pada waktu malam.

Katanya, suspek mendapatkan bekalan barangan berkenaan dari seorang lelaki Siam di sebuah kampung di Sik, Kedah untuk dipasarkan di sekitar Pasir Mas, Kelantan.

"Keempat-empat suspek menerima upah, pemandu mendapat RM500 dan penumpang RM300 bagi setiap trip perjalanan.

"Semua suspek direman selama empat hari sehingga 8 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau di penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 4:27 PM