OTHMAN (kiri) menyerahkan baki cek bernilai RM 35,000 kepada Abdul Rahim.
OTHMAN (kiri) menyerahkan baki cek bernilai RM 35,000 kepada Abdul Rahim.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Penduduk Kampung Parit Abu Hassan, Alor Pongsu, di sini, sepakat memilih 28 Mac ini sebagai tarikh perasmian Surau Nurul Hasaniah sumbangan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM).

Pengerusi surau terbabit, Osman Hashim berkata, tarikh berkenaan diputuskan pihaknya dengan persetujuan penduduk serta perbincangan bersama Pengerusi TKHM merangkap Pengarang Eksekutif Edisi Hujung Minggu dan Rencana Harian Metro Othman Mamat.

Menurutnya, penduduk kampung berterima kasih kepada Harian Metro yang menjadi penyumbang utama terhadap pembinaan surau itu yang kini dalam proses akhir untuk disiapkan sepenuhnya.

"Hari yang dinantikan semua penduduk di sini hampir tiba dan ini pasti akan menjadi kenangan manis serta penuh bermakna pada kami semua penduduk.

"Setakat ini sudah lebih 90 peratus bangunan surau siap dan kita harap ia akan siap sepenuhnya menjelang tarikh perasmiannya kelak," katanya selepas mengadakan lawatan bersama Othman ke kawasan pembinaan surau berkenaan, semalam.

Hadir sama Ketua Kampung Parit Abu Hassan Abdul Rahim Abdul Wahab.

Menurut Othman, pihaknya turut dimaklumkan oleh kontraktor yang membina surau terbabit bahawa penduduk kampung sudah boleh mula bersembahyang di surau berkenaan pada minggu hadapan.

"Semuanya berjalan lancar dan kini hanya tinggal pemasangan karpet, lampu, kipas dan cermin sahaja yang masih belum siap.

"Kontraktor memaklumkan kami boleh mula menggunakan surau itu sejurus pihaknya menyiapkan keseluruhan kerja pemasangan peralatan dalam minggu hadapan," katanya.

Sementara itu, Othman berkata, pada majlis perasmian surau itu kelak, Harian Metro (HM) akan mengadakan beberapa acara kemasyarakatan termasuk menyampaikan bantuan kepada keluarga fakir miskin yang terpilih sebagai satu amal kebajikan.

"Pada sebelah pagi, kita bercadang mengadakan gotong-royong membersihkan surau dan turut menyumbang seekor lembu untuk diadakan kenduri pada waktu tengah hari.

"Kesemuanya dilakukan secara gotong-royong dan dijangka hampir 40 sukarelawan termasuk kakitangan HM akan turut serta. Pada sebelah petang pula, pihak kami bersama pemimpin masyarakat tempatan akan menziarahi rumah fakir miskin terpilih untuk menyerahkan sedikit bantuan kepada mereka.

"Waktu kemuncak perasmian surau dijangka diadakan selepas solat Isyak iaitu selepas majlis tahlil diadakan," katanya yang turut menyerahkan baki cek bernilai RM35,000 bagi tujuan pembinaan surau berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 7:58 AM