Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Sebuah farmasi, di sini, yang dikesan menjual sekotak pelitup muka berisi 50 keping pada harga RM60 menerima kunjungan 'tetamu istimewa', hari ini.

Ia berikutan farmasi berkenaan didapati mengelirukan pengguna, malah pemilik wanita berusia 50-an turut memberi alasan menjualnya pada harga RM1 sekeping berikutan ia adalah lebihan stok lama.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Norazah Jaapar berkata, pihaknya yang melakukan pemeriksaan memberi amaran kepada farmasi terbabit.

Menurutnya, sekiranya didapati mengulangi perbuatan sama maka tindakan kompaun akan diberikan.

"Pada April lalu, kerajaan membenarkan penjualan pelitup muka pada harga runcit RM1.50 dan RM1.45 pada harga borong.

"Namun bermula 15 Ogos lalu, ia ditetapkan kepada RM1 bagi harga runcit dan 95 sen seunit pada harga borong, jadi peniaga tiada alasan lagi untuk tidak mematuhinya.

"Setakat ini, sebahagian besar peniaga mematuhinya, tetapi mereka yang gagal patuh diberikan amaran lisan, namun jika kesalahan sama berulang maka tindakan kompaun akan dikenakan," katanya.

Katanya, pihaknya akan pemeriksaan berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku kesalahan serupa oleh peniaga pada masa akan datang.

Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar menegur peniaga yang menjual pelitup muka pada harga RM60 yang didakwa lebihan stok lama yang sebelum ini dijual pada harga RM1.50. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Pengarah KPDNHEP Perlis Norazah Jaapar menegur peniaga yang menjual pelitup muka pada harga RM60 yang didakwa lebihan stok lama yang sebelum ini dijual pada harga RM1.50. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 4:55 PM