MONYET Bangkatan yang parah akibat dirempuh kenderaan terpaksa ditamatkan hayat demi mengurangkan deritanya. FOTO IHSAN JHL
MONYET Bangkatan yang parah akibat dirempuh kenderaan terpaksa ditamatkan hayat demi mengurangkan deritanya. FOTO IHSAN JHL
Hazsyah Abdul Rahman


SANDAKAN: Seekor monyet bangkatan (Proboscis) jantan dewasa terpaksa ditamatkan hayat menerusi suntikan eutanasia akibat parah selepas dirempuh kenderaan di Jalan Bambangan, Seguntor, Batu 11, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8 pagi itu, haiwan ikon Malaysia berkenaan dilaporkan parah di kaki, patah tangan dan beberapa anggota badan lain serta mempunyai peluang tipis untuk hidup.

Difahamkan, kejadian disedari seorang pegawai kanan keselamatan sebelum memaklumkan kejadian kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk tindakan lanjut.

Pegawai JHL Sandakan, Hussien Muin berkata, kakitangan Penyelamat Hidupan Liar (WRU) kemudian diarahkan ke lokasi.

"Sebaik ditemui dalam keadaan parah, monyet bangkatan berkenaan kemudian dihantar ke Klinik Sepilok dan mendapati ia dalam keadaan lemah selain mengalami banyak pendarahan.

"Haiwan berkenaan juga mempunyai luka pada kaki, ibu jari serta patah tangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rawatan segera diberikan ke atas monyet bangkatan itu, namun kecederaan dan pendarahan yang dialami sangat serius.

"Peluang untuk haiwan itu hidup sangat tipis, lalu keputusan untuk melakukan suntikan eutanasia (ubat bagi mempercepatkan proses kematian) terpaksa diambil bagi menghentikan kesengsaraan yang dialaminya," katanya.

Katanya, pihaknya memohon kepada pengguna jalan raya di kawasan itu supaya berhati-hati dan prihatin bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 5:47 PM