MONYET buta sebelah mata yang diselamatkan APM. FOTO Recqueal Raimi
MONYET buta sebelah mata yang diselamatkan APM. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


PENDUDUK Kampung Bungalio Kiulu, Tuaran, gempar dengan kehadiran seekor monyet liar yang menceroboh rumah, malam tadi.

Difahamkan kejadian jam 8 malam itu, disedari suri rumah yang mahu dikenali Lia, 34, selepas haiwan terbabit menyelongkar barangan di dapur.

“Monyet itu memasuki rumah melalui tingkap dapur yang terbuka lalu mengambil ikan menyebabkan kami sekeluarga menghalaunya keluar.

“Monyet itu bertindak agresif dan cuba menyerang ahli keluarga saya. Ia kemudian lari dan memanjat tangki di luar rumah,” katanya dihubungi.

Menurutnya, dia meminta pertolongan suami yang berada di Kuala Lumpur untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Tuaran, Paulina Francis berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian jam 8.22 malam dan seramai tiga anggota dikerah ke lokasi.

“Monyet jantan seberat dua kilogram itu didapati buta mata kiri dan berada di tangki sebelum ditangkap menggunakan penjerut.

“Ia akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah petang ini,” katanya.

Paulina berkata, operasi ditamatkan jam 9.40 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 11:57 AM