Redzuan Muharam


SEMUA ketibaan dari luar negara ke pintu masuk Sarawak wajib dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan negeri mulai semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu terbabit juga dikehendaki menjalani ujian saringan kesihatan iaitu 'swab test' pada hari kedua dan ke-10.

"Kos kuarantin bagi rakyat Sarawak akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, manakala bukan rakyat (Sarawak) perlu menanggung (kos kuarantin) sendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi ketibaan dalam negeri ke pintu masuk Sarawak, rakyat Malaysia dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

"Namun, mereka perlu mengisi borang deklarasi kesihatan secara atas talian (e-HDF) terlebih dahulu dengan melayari laman sesawang https://sarawakdisastermc.com," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, seramai 21,217 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 8,801 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan 66 individu dihantar ke hospital, manakala 12,350 lagi dibenarkan discaj serta pulang.

Katanya, mereka yang pulang dari 32 negara ditempatkan di 70 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA).

Sementara itu, katanya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalankan pemeriksaan di 21 tapak binaan seluruh negara, semalam.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tapak tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 4:50 PM